What? Kakak Iman nak quit STF? (sambungan)

Seharian hati Babah tak tenteram dek mesej-mesej Kakak tentang hasratnya nak quit STF (seperti yang Babah dah ceritakan dalam entri sebelum ni).

Hari Isnin (6 Februari 2017), setelah Babah melangsaikan tugas Babah di SK Taman Suria (memberi taklimat rintis KSSR Semakan 2017 Bahasa Arab Tahun 3), Babah memandu menuju ke STF yang jaraknya hanya kurang 10 kilometer sahaja. Dalam hati Babah masih teragak-agak sama ada nak pergi berjumpa Kakak untuk bertanyakan hal sebenar kenapa Kakak nak keluar STF, atau membiarkan sahaja Kakak dengan masalahnya yang Babah sendiri tak tahu apa puncanya. Babah tak gemar sebenarnya datang ke sekolah Kakak, berjumpa Bonda Pengetua, semata-mata hendak membincangkan perkara-perkara yang tidak pasti. Mungkin alasan Kakak hanya seperti yang Kakak sebutkan sebelum ini... Kakak homesick. Tak masuk akal lah Kakak...!

Tapi dalam fikiran Babah, sebagai seorang ayah, Babah perlu tahu keadaan sebenar kenapa Kakak beriya-iya benar minta nak quit STF. Jadi, atas alasan itu, Babah teruskan pemanduan Babah ke STF. Dalam fikiran Babah, sudah membayangkan apa yang perlu Babah cakap kepada Bonda Pengetua bila bersua muka nanti.

Sesampainya Babah ke pintu pagar STF, Babah terus memperkenalkan diri Babah kepada pengawal keselamatan sekolah. Babah lengkap bertali leher dan berblazer sebagai pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia ingin berjumpa dengan Pengetua. Setelah diizinkan masuk, Babah terus sahaja menuju ke pejabat sekolah.

Di pejabat, Babah memperkenalkan diri Babah sekali lagi kepada kerani yang menyambut Babah di kaunter pejabat dengan ayat yang sama. Setelah Bonda Pengetua STF datang mempelawa Babah ke biliknya, Babah terus mengatakan padanya yang Babah datang bukan atas urusan rasmi KPM, tetapi atas urusan anak Babah yang bersekolah di situ. Bonda Pengetua terkejut dan terus bertanyakan nama dan tingkatan Kakak.

Memang Babah tidak pernah berkenalan dengan Bonda Pengetua sebelum ini. Itu antara sebab kuat juga Babah ingin ke STF. Disamping ingin menyelesaikan masalah Kakak, Babah juga ingin berkenalan dengan Bonda Pengetua. Semoga perkenalan hari itu akan mengeratkan lagi kerjasama Babah dengan pihak sekolah.

Di pejabat Bonda Pengetua, Babah menceritakan hal dan keadaan yang berlaku hingga menyebabkan Babah terpaksa hadir berjumpa Bonda Pengetua pada hari tersebut. Bonda Pengetua agak terkejut dengan isu Kakak nak keluar daripada STF. Dari perbualan Babah dan Bonda Pengetua, Bonda Pengetua mengenali Kakak kerana Kakak merupakan pendebat junior STF yang merangkul juara dalam Debat Sehebat mengalahkan pasukan dari Indonesia dan final bertemu Sekolah Menengah Sains Batu Pahat pada tahun lepas. Bonda Pengetua meluahkan rasa kesalnya seandainya Kakak benar-benar ingin meninggalkan STF, kerana Kakak merupakan antara aset sekolah yang berharga. Babah sangat terharu dan bangga dengan pengakuan Bonda Pengetua.

Bonda Pengetua lantas memanggil guru kelas Kakak, guru debat dan guru kaunselor masuk ke pejabatnya. Bonda Pengetua mahu bertanyakan kepada guru-guru tersebut tentang kemungkinan masalah yang Kakak hadapi hingga sanggup untuk buat keputusan keluar daripada STF. Bonda Pengetua menjangkakan Kakak mungkin menghadapi masalah dengan rakan-rakan sekelas atau sebilik. Mungkin bercakap-cakap kasar sesama mereka atau masalah-masalah lain yang berkaitan dengan aktiviti dan penglibatan di sekolah. Namun, kesemua guru tersebut menyatakan Kakak tidak mempunyai sebarang masalah baik dari segi kelakuan, pergaulan mahupun penglibatan Kakak dalam aktiviti debat. Akhirnya, setelah tiada isu yang dapat diandaikan sedang dihadapi Kakak oleh guru-guru tersebut, Bonda Pengetua mengarahkan guru kelas memanggil Kakak masuk ke pejabatnya untuk mendapatkan penjelasan sebenar daripada Kakak.

Kakak melangkah perlahan masuk ke bilik Bonda Pengetua. Dari jauh Babah dapat melihat mata Kakak kemerah-merahan dan berkaca-kaca. Setelah bersalaman dan guru-guru dan Bonda Pengetua, Kakak mendapatkan Babah, bersalaman dan berpelukan. Terasa sayu hati Babah melihat Kakak waktu itu. Babah tak tahu apa masalah yang Kakak hadapi hingga sanggup untuk buat keputusan keluar daripada STF.

Bertalu-talu soalan daripada Bonda Pengetua dan guru-guru yang ada kepada Kakak. Babah juga begitu. Kami semua risaukan Kakak dengan masalah yang Kakak hadapi tetapi kami tidak mengetahuinya. Namun, Kakak hanya menggelengkan kepala bila setiap isu yang ditimbulkan oleh kami, bukanlah masalah yang Kakak hadapi. Kakak hanya cakap yang Kakak homesick. Allahuakbar.. Tak mungkin Kakak! Selama setahun Kakak di tingkatan satu, Kakak tidak pernah homesick!

Akhirnya, Babah mengambil keputusan untuk membawa Kakak keluar dari pejabat Bonda Pengetua. Babah nak bawa Kakak berbual di dalam kereta. Mungkin Kakak malu nak berterus terang di hadapan Bonda Pengetua dan guru-guru yang lain. Bonda Pengetua bersetuju dan membenarkan Babah membawa Kakak keluar ke kereta.

Di dalam kereta, Kakak masih menangis. Terus menangis. Kakak masih tak boleh nak berterus terang masalah yang Kakak hadapi. Lama kita duduk di dalam kereta. Babah terus-terusan cuba memberi semangat kepada Kakak. Mengingatkan kembali azam dan cita-cita Kakak sebelum ke STF. Memujuk dan merayu. Segalanya Babah lakukan untuk puteri tunggal Babah yang seorang ni.

Akhirnya Kakak buka mulut! Kakak nak ceritakan apa sebenarnya yang membuatkan Kakak nak keluar daripada STF.

Bersambung... (kasi saspen sikit)..

Babah.

0 comments:

Pengikut

Blog babah

Senarai blog menarik

Lanjutkan kasehKAMI dalam kasehNYA

Daisypath Anniversary Years PicDaisypath Anniversary Years Ticker .

Mior Syazril.................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Izan............................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhd. Irsyadi........................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Iman Izzati..................................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irfaei..................

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Mior Muhammad Irhamni..............